Thursday, 5 April 2012

Menjadi Hebat

Tahukah kamu?

MENCIPTA TAMADUN YANG HEBAT

Pada hari ini, kita dapat melihat bahawa umat Islam tidak lagi bersatu dan membawa haluan masing-masing. Seperti yang kita ketahui bahawa umat Islam yang terdahulu dapat mencipta tamadun yang hebat dan Islam tersebar dengan meluas di setiap pelusuk muka bumi Allah. Islam dapat memayungi dua pertiga dunia dan sejarah telah membuktikannya. Era kegemilangan Islam bermula sejak zaman Nabi Muhammad SAW lagi dan berakhir pada zaman kerajaan Islam yang terakhir iaitu Turki Uthmaniyyah. Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kejayaan kepada umat Islam yang terdahulu.
  • Kecekapan dan Kebijaksanaan Pemimpin
Pemimpin mempunyai wawasan yang jelas dan cekap memerintah. Mereka sangat mementingkan cara mereka membahagikan masa untuk negara dan keluarga. Antara pemimpin Islam yang boleh dicontohi ialah Umar bin al-Khattab. Beliau telah membuka wilayah-wilayah yang baru seperti Mesir, Rom dan Parsi dan melantik panglima-panglima tentera yang berkebolehan mentadbir wilayah-wilayah baru tersebut.
  • Penguasaan Ilmu Pengetahuan
Penguasaan ilmu pengetahuan sangat penting kerana tanpa ilmu sesebuah bangsa itu tidak mungkin akan maju. Pada zaman kegemilangan Islam dahulu, tamadun barat berada di dalam zaman kegelapannya iaitu mereka tidak menguasa ilmu pengetahuan sehingga mereka terpaksa merujuk kepada umat Islam pada zaman itu. Ilmu-ilmu dari dunia Islam inilah yang telah membawa kejayaan kepada bangsa Eropah. Sebagai contoh, Harun ar-Rashid telah menjadikan Kota Baghdad sebagai kota ilmu pengetahuan dunia.
  • Ekonomi yang Stabil
Ekonomi yang stabil juga dapat memajukan sesebuah kerajaan sehingga menjadi sebuah tamadun yang hebat. Apabila ekonomi sudah stabil, maka mudahlah umat Islam untuk menjalankan aktiviti perdagangan antara satu sama lain yang juga membawa kepada kemajuan umat Islam.

Sebagai contoh, seorang sahabat Rasulullah SAW iaitu Abdul Rahman bin Auf, seorang badan koperat yang berjaya. Beliau telah berjaya memantapkan ekonomi orang Islam di Madinah apabila ekonomi di Madinah pada masa itu dimonopolikan oleh orang Yahudi.
  • Semangat Jihad yang Tinggi


Jihad bermaksud satu usaha yang dilakukan bersungguh-sungguh untuk mencapai satu matlamat. Jadi, pemimpin dan rakyat bersungguh-sungguh membuktikan bahawa Islam sebagai penyelamat umat. Keadaan ini mendorong mereka untuk berjihad di medan perang bagi mempertahankan agama dan negara serta mempelopori ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk kemajuan umat Islam.

Sebagai contoh, pada zaman Sultan Muhammad al-Fateh yang ingin menakluk kota Konstantinopel, beliau telah mengeluarkan panggilan jihad kepada rakyatnya. Maka rakyatnya menyatakan taat setia kepadanya dan akan bersiap-sedia untuk mempertahankan serta menginfakkan harta mereka ke jalan Allah. Mereka berjihad bersungguh-sungguh untuk menawan kota Konstantinopel dan akhirnya mereka dapat menawan kota tersebut.


(sumber dr iluvislam.com)

No comments:

Post a Comment